Skip to content

Jadilah Wanita Solehah

March 19, 2008

Jadilah Wanita Solehah

“Tak pe ustaz kan, pandangan pertama tak berdosakan, cuma kami pandang lama
je la ?” tanya seorang pemuda berumur 35 tahun kepada saya sambil
tersenyum-senyum selepas dia merenung wanita berskirt di hadapannya.

Ia adalah satu perkara yang amat menyedihkan, ia sebenarnya hasil dari sikap
sebahagian umat Islam hari ini mengambil ringan tentang hukum Islam.

Berkenaan larangan melihat kali kedua kepada aurat ini diriwayat dalam
beberapa buah hadith, antaranya hadith : “Dari Jarir bin Abdullah, ia
berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat
wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah
pandanganmu itu!” (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) – Iaitu,
Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya.

Demikian juga kata Baginda SAW kepada Ali KW :
Ertinya : “Jangan kamu ikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain,
kerana yang pertama bagimu ( diampunkan) dan tidak bagi yang kedua”

( Riwayat Ahmad, Abu Daud, Albani : Hasan)

Artis & Lawak Hukum

Lebih teruk lagi terdapat artis Malaysia yang sanggup menggunakan
lafaz-lafaz Islam seperti ‘MashaAllah’ dan ‘InshaAllah’ serta ‘Allahu Akbar’
dalam lakonan lawak mereka sambil sengaja disebut dalam bentuk yang
melucukan. Ini amat jelas memperlawakkan lafaz mulia Islam, ia amat kerap
dilakukan oleh satu kumpulan pelawak Malaysia yang terkenal. Moga mereka
diberikan hidayah oleh Allah SWT.

Demikian juga dengan ucapan alhamdulillah bagi seorang artis yang berpakaian
separuh bogel dikhalayak umum apabila berjaya meraih sesuatu anugerah di
media.  Atas nama seni dirasakan tindakannya halal. Pada hakikatnya jika
lakonannya itu penuh dengan adegan ‘peluk sana sini’ dan ‘dedah sana sini’,
maka di ketika itu ia bukanlah lagi sebuah seni mulia yang diiktiraf Islam.
Ia adalah seni ‘fasad’ yang berdosa dan tidak layak diraikan dengan ungkapan
mulia Islam.

Ketika itu, kemenangan mereka di atas pentas dan melafazkan ucapan
sedemikian adalah satu bentuk mempermainkan hukum dan lafaz Islam di tempat
yang tidak sewajarnya.  Seolah-olah seorang yang ingin merompak membaca
‘Bismilah’ ketika memulakan rompakannya dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’
apabila berjaya terlepas dari kejaran polis, atau menyebut ‘Alhamdulillah’
di dalam tandas, atau seperti seorang peminum arak mengucapkan
“alhamdulillah” apabila menyelesaikan minumannya.

Menurut kaedahnya, semua ini menambahkan lagi dosa si pelaku terbabit
disebabkan wujud unsur penghinaan samada secara langsung atau tidak langsung
kepada hukum serta lafaz  mulia Islam. Walaupun mereka tidak langsung
berniat untuk menghina lafaz mulia itu.

Apabila ia adalah sebuah hukum atau ucapan zikrullah, maka adalah tidak
harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan atau menyebutnya di tempat yang
tidak sewajarnya. Nabi SAW bersabda :-
Ertinya : ” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau
ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu
boleh mencampakkannya di dalam Neraka sejauh antara timur dan barat”

( Riwayat Al-Bukhari dengan Fathul Bari, Bab Hifdz Lisan, 11/376 , no 6477)

Imam Ibn Hajar Al-Asqolani menegaskan bahawa erti hadith ini adalah seorang
yang bercakap tanpa jelas maksud ayatnya sehingga menjadikan ia boleh
membawa maksud yang pelbagai sehingga sebahagiannya boleh mencarikkan
sesuatu hukum. (Fath Al-Bari, 11/376)

Hina Islam, Bertudung & Bermaksiat Lebih Besar Dosa

“Amat memalukan la ustaz, saya baru jumpa satu video yang tunjukkan pasangan
melayu ditangkap di tasik-tasik dan tempat awam tengah bercumbuan, apa
pandangan ustaz, hampir 95 % darinya bertudung jenis tak sempurna tu ustaz,
ustaz tau tak?” tanya seorang pendengar kuliah saya sejurus selepas kuliah
saya berkenaan aurat.

Kemudian selang beberapa hari, pemuda ini menghantar email kepada saya
beserta satu petikan video yang dimaksudkan. La Hawla Wala Quwwata Illa
Billah..wa Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun..memang amat mendukacitakan.

Pemuda itu juga menulis seperti ‘kepeningan’ dan ‘kebingungan’ dengan
persekitaran ini dengan katanya

“Boleh tak agaknya saya buat kesimpulan bahawa hampir semua wanita yang
bertudung pendek atau fesyen, dengan kain belah atau baju sempit atau baju
kurung biasa, semua ni jenis yang ‘murah’ dan boleh diajak seks bebas dengan
mudah hari ni, apa pandangan ustaz?” Mengurut dada saya mendengar kesimpulan
pemuda berpakaian kemas dan bekerjaya profesional ini. Sudah tentu amat
marah para wanita dengan kesimpulan si pemuda ini.

“Saya hanya masih percaya dengan wanita yang berjubah dan bertudung labuh
sahaja sekarang ini ustaz, harapnya mereka dapat pertahan maruah dan
kesucian mereka serta tak jadi macam si pemakai tudung pendek yang terbukti
tiada banyak beza dengan free hair” katanya lagi dengan tegas.

Selepas pemuda ini mengutarakan pendiriannya barulah saya memberikan
penjelasan panjang lebar. Bagaimanapun saya belum berhasrat menyebutnya di
ruangan ini, cukuplah saya dedahkan betapa kecewanya pemuda profesional ini
dengan apa yang berlaku di hadapan matanya.

Kesimpulannya, wahai wanita bertudung kembalikan maruah anda dengan tutupan
aurat yang sebenarnya, akhlak wanita Islam yang sebenarnya, janganlah
merosakkan imej Islam itu dengan maksiat yang amat dimurkai Allah SWT.
Sesungguhnya kenikmatan duniawi amat amat sementara, carilah kenikmatan
akhirat yang kekal abadi.

Dari sudut hukum pula, hal wanita bertudung yang melakukan maksiat, dosanya
sudah tentu lebih hebat dari wanita yang tidak bertudung yang melakukan
maksiat. Hal ini boleh difahami dari ayat seperti :

Ertinya : Wahai isteri-isteri Nabi, barangsiapa di antaramu yang melakukan
maksiat dengan jelas, maka di gandakan azab buatmu dua kali ganda”

( Al-Ahzab : 59 )

Memang benar ayat ini ditujukan khas buat isteri-isteri Nabi SAW disebabkan
kemulian dan kedudukan mereka yang sangat mulia, bagaimanapun ayat ini
sebenarnya menggariskan bahawa setiap kali bergandanya kemuliaan, maka
bergandalah dosanya (jika melakukan maksiat), demikian hukuman ke atas
wanita bebas lebih berat dari wanita hamba sahaya di zaman silam. Dikatakan
sebabnya adalah kerana bertambahnya mudarat dan penghinaan kepada Nabi SAW
(Al-Jami’ Li Ahkam AL-Quran ; AL-Qurtubi, 14/ 114 dengan sedikit pindaan )

Demikian jualah bagi wanita bertudung yang telah menaik tarafkan
kedudukannya dengan kemuliaan Islam, tetapi kemudiannya melakukan maksiat.
Maka jika bersandarkan kaedah di atas, jelaslah dosa mereka bertambah besar
kerana maksiat itu sendiri dan merosakkan imej Islam secara jelas.
Bertawbatlah. Demikian juga halnya maksiat (termasuk pelaburan internet yang
disepakati haram secara sepakat ulama dunia dan Malaysia) yang dilakukan
oleh seorang ustaz yang jauh lebih besar dosanya dari dosa oleh lelaki biasa
di sebabkan imej dan kedudukan yang dibawanya.

Sekian,

Ust Zaharuddin Abd Rahman

28 April 2007 ( 10 Rabiul Akhir 1428 H)

http://www.zaharuddin.net/

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: