Skip to content

Politik atau Siyasah??

March 20, 2009

2298069122_2981a4b51d

Gambar sekadar hiasan

Berasaskan tuntutan kewajiban melaksanakan tujuan Syarak dan Fiqh Siyasah Syariyyah lahirlah pelbagai gerakan Islam yang berusaha untuk mengembalikan pelaksanaan Syariah Islam dalam sistem pemerintahan. Namun disebabkan wujud perbezaan di dalam memahami realiti semasa dan manhaj nabi s.a.w. dalam melakukan perubahan maka lahirlah kepelbagaian ini. Tidak dinafikan wujudnya kesepakatan antara gerakan Islam dalam perkara prinsip Islam tetapi terdapat perbezaan pada pendekatan ke arah merealisasikan prinsip-prinsip tersebut.

Antara sebab perbezaan pendekatan tersebut berpunca daripada mafhum siyasah dan politik.

Kita selalu mendengar orang berkata bahawa politik sebahagian daripada Islam. Maknanya sesiapa yang tidak melibatkan diri dalam politik telah mengurangkan kesyumulan Islam dalam amalan hidupnya. Lantaran itu ramai umat Islam melibatkan diri dalam politik dan menjadikannya sebagai satu jihad dan ibadah demi mencapai keredaan Allah. Lebih daripada itu ada juga yang menganggap bahawa sesiapa yang tidak berpolitik dianggap sebagai menyeleweng daripada landasan amal-amal Islami masa kini. Kadang-kadang ia menjadi satu aqidah dan pegangan yang kuat sesetengah umat Islam dan menganggap bahawa melibatkan diri dalam kancah politik semasa adalah satu tuntutan iman.

Malangnya perkataan politik dan mafhumnya hanya disempitkan kepada politik kepartian dan perjuangan menegakkan Islam melalui cara pilihanraya sahaja. Sekiranya mafhum politik hanya terbatas kepada ideologi dan mekanisma politik Barat maka ia bukanlah politik yang bertepatan dengan Ruh Syariat Islam.

Sebaliknya mafhum siyasah dalam Islam adalah amat luas; ia bermula dengan siyasah dakwah mengajak manusia kepada Islam, siyasah dalam mendidik dan mengubah syakhsiah mereka, siyasah dalam membina asas-asas tanzim dan organisasi kerajaan Islam, perlaksanaan Syariat Islam dalam seluruh aspek kehidupan, perlaksanaan hukum-hukum Islam dan siyasah hubungan Islam dengan bukan Islam sama ada bukan Islam itu syakhsiah hakiki atau syaksiah iktibari ( institusi).

Berlandaskan keluasan Siyasah Syariyyah ini kadang-kala penglibatan gerakan Islam dalam pilihanraya di suatu tempat bukan merupakan suatu keutamaan dan kadangkala menjadi keutamaan di tempat yang lain pula.

Ikhwan Muslimin membahagikan siyasah mereka kepada tiga bidang; siyasah dalaman, siyasah tarbiyyah dan siyasah luaran. Siyasah dalaman berkaitan dengan syarat-syarat keahlian dan kepimpinan serta proses perlantikannya. Siyasah tarbiyyah menjadi asas kepada kenggotaan dan kepimpinan di mana keperibadian anggota dinilai di sudut penguasaan saqafah Islamiyyah dan tercernanya sykhsiah Islamiyyah tertentu yang menjadi objektif tarbiyyahnya. Siyasah luaran merupakan dasar dalam menentukan sikap gerakan dan hubungannya dengan gerakan Islam yang lain, hubungannya dengan gerakan bukan Islam dan kuasa pemerintah yag sedia ada ditempat mereka.

Menyertai pilihanraya atau tidak adalah berkaitan dengan siasah luaran yang dinilai berdasarkan asas-asas maslahah . Kadang-kala mereka menyertai pilihanraya kerana keperluan maslahah seperti semasa untuk menyampaikan dakwah, menyatakan yang hak dan mencegah kemunkaran dengan tidak mengabaikan kerja-kerja asas dalam mengubah tamaddun manusia daripada jahiliyyah kepada Islam melalui manhaj perubahan al-Quran

Matlamat Siyasah Syariyyah.

Matlamat Islam disebut dalam istilah Syarak sebagai `Maqasid Syarak’ bukan sekadar melaksanakan undang-undang Syarak; hukum hudud dan qisas. Malah paling asas ialah mengislamkan manusia dan menjadikan mereka hamba Allah yang soleh. Menmbentuk institusi keluarga agar menjadi sebuah institusi yang melahirkan insan yang soleh dan beramal untuk kemaslahatan manusia. Melahirkan sebuah masyarakat yang berkasih sayang dan saling merasa bertanggungjawab dihadapan Allah terhadap kemungkaran dan berusaha mencegahnya. Melahirkan sebuah kerajaan yang tayyibah dan mendapat keberkatan dan keampunan Allah. Melahirkan khalifah Islam yang merealisasikan matlamat terakhir perjuangan nabi s.a.w. untuk membawa Rahmat keseluruh dunia.

http://siasahharokiah.wordpress.com/tujuan-siyasah-syariyyah/

Manhaj al-Quran dalam merealisasikan matlamat Syarak.

Allah S.W.T yang membimbing nabi s.a.w. melaksanakan tugasnya sebagai rasul yang mengubah tamaddun kemanusiaan telah menggriskan satu manhaj pergerakan yang wajib dicontohi oleh semua gerakan Islam.

Manhaj al-Quran adalah bertitik tolak di atas perubahan manusia. Bermula dengan mengubah pemikiran dan ideologi jahiliyyah dan digantikan dengan aqidah Islam. Seterusnya al-Quran mengubah identiti, suluk atau tabiat hidup manusia sehingga mereka menjadi al-Quran yang bergerak. Perubahan yang mengambilkira perubahan pemikiran, neraca nilai, akhlak dan tabiat, budaya dan adat dan sistem hidup.

http://siasahharokiah.wordpress.com/daulah-nubuwwah/

Kelemahan Manhaj Politik Kepartian.

Jika gerakan Islam hanya memfokuskan agenda perubahan kepada pilihanraya ia tidak dapat lari daripada beberapa kelemahan yang antaranya:

1. Boleh menyebabkan berlaku perpecahan ummah kepada kelompok; pemerintah dan pembangkang.

Keadaan ini bertentangan dengan tujuan Syariat Islam yang menggesa umatnya agar hidup berkasih sayang, bertolak ansur, bermaaf-maafan, berbaik sangka dan sebagainya.

Maksud hadis nabi s.a.w. ” kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, tidak sempurna iman kamu sehinggalah kamu berkasih sayang…”

Sekiranya sistem pemerintahan yang terlaksana bukan sistem Islam, undang-undangnya bukan undang-undang Islam dan seluruh sistem hidup bercanggah dengan Islam maka penglibatan dalam pilihnraya berasaskan sistem tersebut juga tidak akan membawa kepada tertegaknya Syariat Islam. Ketika itu jika gerakan Islam terlibat dalam sistem politik kepartian dan menyertai pilihanraya hanyalah berasaskan kaedah `melakukan kemudaratan yang lebih rendah untuk mengelakkan kemudaratan yang lebih besar’. Penglibatan tersebut tidak sayugia melupakan kerja-kerja asasi gerakan Islam iaitu merubah diri ummah agar kembali kepada Islam melalui siyasah tarbawiyyah.

2. Tidak memfokuskan kerja kepada melakukan perubahan manusia melalui manhaj tarbiyyah al-Quran.

Kepimpinan dalam kerajaan Islam mestilah lahir melalui proses tarbiyyah Islamiyyah yang sebenar. Untuk memastikan generasi masa kini menjadi pemimpin masadepan yang memiliki ciri-ciri seorang khalifah maka mereka perlulah dididik melalui acuan Islam. Sebelum itu perlu wujud generasi murabbi yang menghayati ciri-ciri sorang murabbi qudwah yang mendidik secara teori dan amali. Pendekatan ini dianggap oleh pengamal-pengamal manhaj politik sebagai wasilah yang lembab dan lambat. Oleh itu manhaj ini sukar dapat dilaksanakan dalam parti politik yang kepimpinannya terdiri daripada pelbagai ragam latar belakang pemikiran.

Kalaupun ada aktiviti tarbiyyah ia hanyalah sekadar majlis-majlis Ilmu yang bersifat sukarela dan tidak menjadi syarat keanggotaannya malah kepimpinannya juga tidak disyaratkan melalui proses tarbiyyah tertentu. Seseorang itu boleh jadi suatu ketika menjadi pemimpin parti lain dan dengan melompat ke parti lain pula beliau berkemungkinan besar terpilih menjadi pemimpin yang boleh menentukan dasar dan halatujunya.

3. Terikut-ikut dengan sistem politik barat yang menghalalkan cara.

Biasanya parti politik menjadikan pilihanraya sebagai gelanggang pertarungan. Pertarungan pilihanraya biasanya berasaskan isu. Isu-isu pula sentiasa berubah-ubah. Ada isu yang sebenar dan ada isu sampingan yang dibesar-besarkan dan ada isu yang sengaja di ada-adakan. Ada isu peribadi dan ada isu dasar yang diketengahkan. Kadang-kadang isu kebendaan dilebih-lebihkan dan kadang-kadang isu teknikal seperti isu Bahasa Melayu dalam pendidikan Sains dan Matematik yang ada pro dan kontra.

Dalam Siyasah Syariyyah isunya sentiasa konsisten iaitu mengembalikan manusia kepada pengabdian diri kepada Allah, melahirkan dan memantapkan ukhuwwah sesama orang-orang yang beriman, membina asas-asas sistem Islam melalui ikatan hati umat Islam dalam saf yang tersusun rapi dan membina semua kekuatan sehingga gerakan Islam memilki syarat-syarat kemenangan; majoriti masarakat memberikan wala’ dan intima’ kepada pimpinan Islam dan wujudnya peluang yang sesuai untuk melaksanakan Syariah Islam mungkin melalui pilihanraya dan mungkin melalui cara lain yang bersesuaian.

http://renungan2u.wordpress.com

p/s: Artikel bersempena pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar, Jordan University of Science & Technology. Kerusi di Fakulti Perubatan dimenangi oleh sahabat-sahabat Islamy.

~Abu Thana’, Irbid~

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: