Skip to content

Aduhai politik…

November 4, 2009

Sudah lama rasanya tidak menulis. Kalau dibiarkan terlalu lama, pasti hilang kemahiran yang tidak seberapa ini. Studi dan amal-amal lain menjarakkan saya seketika dengan penulisan di blog ini. Blog ini blog perkongsian saya dan isteri, tetapi kalau dihitung post yang ada, saya ketinggalan jauh berbanding Ummu Thana’.

Kali ini saya tergerak untuk menulis setelah bersembang-sembang dengan beberapa sahabat di masjid sebentar tadi, sementara menunggu waktu Isya’. Perbincangan yang santai, mencakup topik-topik yang pelbagai, termasuk yang terhangat di pasaran. Isu penangkapan Ustaz Asri juga tidak ketinggalan dikomen, dan akhirnya terbawa-bawa ke isu politik semasa tanahair.

Suasana politik terkini di Malaysia menuntut kita untuk kembali berfikir, di manakah keaslian masyru’ Islami yang kita ingin bawa? Apakah jalan terbaik untuk memenangkan masyru’ Islami ini dalam suasana politik pada ketika ini?

Jika dilihatkan kepada agenda parti-parti politik di Malaysia, sudah maklum bahawa PAS adalah parti yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan mereka. Pasca PRU 12 tahun lalu, PAS telah pun berjaya menawan Kedah, di samping mengekalkan posisi selesa mereka di Kelantan. Sebahagian penganalisis kuat mengatakan bahawa obor Islam sudah makin diterima dengan rancak, namun sebahagian yang lain menyatakan bahawa kejayaan tersebut adalah hasil swing vote yang kecewa dengan kepimpinan kerajaan pusat. Masing-masing bebas untuk menilai, tetapi biarlah nilaian itu berdasarkan neraca realiti.

Pasca PRU 12 juga membawa pemimpin PAS ke arah berfikir hala tuju kerjasama politik mereka, atau lebih biasa disebut oleh kalangan Islamis sebagai tahalluf siyasi. Sebahagian mereka cuba membawa idea kerajaan perpaduan dengan bergabung bersama di dalam kerajaan pusat, atas pertimbangan-pertimbangan berasaskan qaedah Siyasah Syar’iyyah. Sebahagian yang lain pula merasakan bahawa political mileage mereka akan lebih terpelihara andai kerjasama dilakukan bersama PKR dan DAP atas nama Pakatan Rakyat. Kumpulan ini yang lebih dikenali oleh media sebagai puak Erdogan mempertahankan prinsip mereka bersama Pakatan Rakyat, mungkin juga kerana faktor peribadi Anwar Ibrahim itu sendiri. Lantas cakap-cakap tentang kerajaan perpaduan dan kesetiaan bersama Pakatan Rakyat berterusan, sehingga telah diadakan muktamar khas bagi membincangkan isu tersebut. Meskipun resolusi muktamar tersebut mengikat PAS untuk terus bersama PR, cakap-cakap tentang kerajaan perpaduan terus dicanangkan oleh sebahagian dari mereka, dengan menggunapakai istilah muzarakah & muqabalah bersama UMNO. Respon dari UMNO di sebelah pihak, dan PKR dan DAP di sebelah pihak yang lain, masing-masing menunjukkan bahawa mereka memerlukan PAS untuk terus survive dalam arena politik tanahair. Justeru, nilai PAS semakin mahal, dan keputusan PAS akan menentukan kekuatan barisan mana yang akan lebih kukuh. Di antara memilih kerajaan perpaduan demi mempertahankan prinsip Melayu-Islam, atau kerjasama dengan DAP yang sudah makruf  menentang penegakan Daulah Islam.  Kemuncak kepada isu ini di mana Tuan Guru Nik Aziz mencadangkan supaya memanggil EGM, akhirnya PAS tetap dengan keputusan bersama PR, dan tiada lagi cakap-cakap tentang kerajaan perpaduan.

Dalam memilih untuk mengadakan kerjasama politik ini, PAS seharusnya tahu bahawa kerjasama politik dengan DAP hanya akan membantutkan masyru’ Islami yang ingin di bawa, dan PAS juga sebenarnya telah serik untuk bersama dengan UMNO di dalam kerajaan perpaduan, meskipun masyru’ Islami boleh dikembangkan hasil kerjasama tersebut. Saya berpendapat bahawa pada saat ini, PAS perlu mengambil sikap ‘jual mahal’, andai mahu memastikan masyru’ Islami terus relevan di tengah-tengah masyarakat. PAS masih boleh bergerak tanpa kerjasama politik dengan sesiapa, kerana kerjasama politik dengan parti-parti tersebut hanyalah dilaungkan untuk mengambil kesempatan di atas ‘nilai’ PAS yang tinggi pada ketika ini.

Solusinya, buat masa ini PAS perlu kembali mengislah masyarakat melalui pelbagai medan yang masih terbentang luas untuk diusahakan. Medan politik bukanlah satu-satunya medan mengislah masyarakat, ianya hanyalah satu wasilah dari wasail yang berbagai. Andai benar bahawa PAS merupakan Jamaah yang syumul dari aspek haraki yang pelbagai, maka tiada masalah jika PAS mengambil pendirian bersendiri pada ketika ini dan menumpukan seluruh jenteranya ke arah mengislah masyarakat melalui medan-medan non-political. Masalah kemiskinan rakyat, pengangguran, kebejatan sosial, pendidikan berteras Islam yang masih kurang, masalah penagihan dadah, membangun ekonomi masyarakat Melayu-Islam, masalah akhlak muda-mudi,….. semuanya masih boleh diurus secara langsung tanpa menerusi medan politik, dan dalam masa yang sama maslahat ummah tetap terpelihara. Namun, apa yang diyakini oleh PAS adalah untuk mendapatkan kemenangan dalam siri pilihanraya kecil dan seterusnya PRU 13, selepas itu barulah masalah-masalah ini akan dapat diurus. Lantas, seluruh jentera dikerahkan untuk memastikan kemenangan tersebut dicapai, dan yang paling dinanti adalah PRU 13 kelak. Jika nasib tidak menyebelahi PAS pada ketika tersebut, kitaran ini akan terus berulang, dan masalah ummah masih tidak dapat diurus secara langsung.

Saya pernah terbaca satu artikel yang pada hemat saya ditulis oleh ahli PAS sendiri, tetapi tidak dapat saya pastikan. Antara lain artikel tersebut mencadangkan agar struktur PAS digubah supaya menjadi lebih ‘mesra-rakyat’, dalam rangka menjadikan PAS Jamaah yang lebih merangkumi pelbagai aspek dakwah, atau lebih tepat diistilahkan oleh kalangan Islamis sebagai Harakah Syamilah. Stuktur tersebut mencadangkan agar harakah ini membumi di kalangan masyarakat dengan pelbagai pengkhususan amal, dan bukan amal politik semata. Urusan politik hanya akan diurus oleh satu biro di dalam harakah tersebut, dan biro-biro lain terus hidup dan bergerak sama laju dengan gerakan biro politik tersebut. Struktur seperti inilah yang bakal menjadikan PAS Harakah Syamilah, dan bakal menjayakan masyru’ Islami di Malaysia. Dan bila bertemu situasi seperti hari ini, masyru’ Islami PAS tetap bergerak walaupun PAS mengambil pendirian berkecuali dari mana-mana kerjasama. Lagi, jika tiba suatu keadaan di mana PAS perlu memboikot pilihanraya, PAS akan terus memancang pasaknya di tengah masyarakat kerana wasilah politik bukanlah satu-satunya wasilah amal mereka. Perkara seperti ini bukanlah suatu yang ganjil, HAMAS di Palestin dan Barisan Amal Islami (wadah politik Ikhwanul Muslimin di Jordan) telah membuktikan konsep Harakah Syamilah ini. Persoalannya, adakah PAS bersedia untuk semua ini? Atau PAS masih merasakan medan politik adalah medan utama dalam menjayakan masyru’ Islami?

p/s: Pertama kali menulis tentang politik tanahair, komen dialu-alukan.


~Abu Thana’, Irbid~

One Comment leave one →
  1. 'Abed permalink
    November 4, 2009 4:32 am

    Assalamualaikum.

    Pertama-tamanya, alhamdulillah, apa yang saudara tuliskan boleh dijadikan sebagai satu bentuk muhasabah bagi PAS. Keprihatinan saudara untuk melihat PAS sebagai salah satu jamaah yang syumul amatlah saya kagumi.

    Keduanya, izinkan saya untuk memberikan respon berkenaan apa yang saudara tuliskan.

    Apabila kita berbicara tentang PAS, elok kiranya kita kaitkan juga bagaimana keadaan politik di Malaysia itu sendiri.

    a. Setiap daripada badan atau pertubuhan yang ingin bertanding dalam pilihan raya, perlu mendaftar sebagai parti politik. Tidak boleh sebagai NGO nak bertanding dalam pilihan raya, tetap kena berdaftar sebagai parti politik.

    Kita masing-masing sudah masak, bagaimana senario politik di Malaysia. Yang membangkang, akan cuba dikaburkan dalam sehitam mungkin, yang menyokong, dijulang melangit. Tidak kira parti kecil atau besar.

    PAS dengan sejarah 60 tahun sebelum ini sudah dilabelkan sebagai sebuah PARTI POLITIK. Tidak dapat tidak, trademark untuk PAS adalah POLITIK, meskipun ada aktiviti atau cara pendekatan lain yang digunakan.

    Trademark ini sedikit sebanyak memberikan kesukaran bagi PAS untuk bergerak, memandangkan keadaan dan juga penguatkuasaan undang-undang yang berat sebelah ini dilaksanakan di bumi PAS berjuang, termasuk juga kisah & juga siri ‘penentangan’ PAS dalam pilihan raya – pilihan raya terdahulu terhadap kerajaan pusat yang memerintah kini.

    Hal ini tidak dapat tidak menyulitkan untuk PAS menembusi beberapa tembok, serta mengehadkan capaian PAS kepada masyarakat.

    Menjawab persoalan adakah PAS menggunakan wasilah politik semata, jawapannya tidak. PAS tidak pernah mengabaikan pendekatan yang lain. Pelbagai cabang daripada PAS telah dilebarkan untuk mendekati masyarakat. Aktiviti & program PAS bukanlah semuanya berbentuk politik. Cumanya mungkin tidak diwar-warkan, ataupun ianya dijalankan secara sulit & senyap agar tidak berlaku sebarang masalah dalam melaksanakannya, memandangkan tekanan yang diberikan oleh pihak yang satu itu sangat kuat terhadap PAS.

    Masakan PAS memilih Jalan Raja Laut untuk mendirikan Pejabat Agung sekiranya hanya memandang kepada politik semata-mata? Agendanya lebih daripada itu.

    b. PAS sememangnya sudah ma’ruf sebagai satu PARTI POLITIK berteraskan AGAMA ISLAM. Satu masa dahulu, apabila disebut PAS, pasti masyarakat bukan Islam akan melatah mengaitkan PAS dengan hudud.

    Hudud bagi mereka seakan satu alergi. Tidak boleh langsung disebut. Kumpulan sasar ini pula berada jauh di tempat-tempat yang sukar untuk PAS tembusi. Jentera pilihan raya PAS, bukan sekadar kerjanya menggantung poster, berjaga malam semata untuk itu. Jauh lebih dari itu. Kerjasama dengan DAP sebagai contohnya, membolehkan PAS untuk memasuki kawasan-kawasan yang sebelum ini sukar untuk PAS masuki.

    Alhamdulillah, dengan kerjasama yang dilakukan itu, membolehkan PAS bukan sahaja untuk belajar bagaimana selok-belok keadaan tersebut, namun mengetahui lagi mendekati masyarakat tersebut.

    Perlu untuk diketahui, inilah juga masanya untuk membuktikan kepada parti-parti lain, seperti DAP misalnya, yang sebelum ini memandang serong lagi sinis terhadap golongan agama ini, bahawa dengan agama Islam, bukannya bertambah jumud lagi sempit.

    Pekerja-pekerja & jentera pilihan raya PAS sebelum ini berjaya menunjukkan akhlak & disiplin yang tinggi kepada jentera-jentera pilihan raya dari parti lain, sekaligus menyangkal dakwaan & mengubah persepsi mereka terhadap Islam.

    c. PAS tidak terlalu risau berkenaan keadaan keseluruhan umat Islam di Malaysia, kerana telah banyak NGO-NGO Islam yang telah ditubuhkan. Mungkin pada peringkat awal PAS menganggap satu kesukaran ataupun melarang kepelbagaian jemaah ini, namun pada akhirnya, PAS akur bahawa jemaah-jemaah yang lain ini menjadi pelengkap, membantu PAS dalam aspek yang lain. Lantas PAS boleh menumpukan pada aspek politik yang telah lama diperjuangkan, kerana PAS yakin lagi pasti bahawa sekiranya ada lompong-lompong kosong yang PAS tidak mampu bawa, akan ada jemaah lain yang akan mengisinya.

    d. Mengetahui sejarah perjalanan perjuangan PAS juga satu perkara yang sangat penting sebelum memberikan apa-apa komen berkenaan jemaah PAS. PAS pernah duduk sebaris dengan siapa sahaja yang mahu merungkai kebatilan, menolak kezaliman. PAS pernah bersama dengan Semangat 46 dalam pilihan raya terdahulu. Begitu juga dengan UMNO.

    PAS cuba mencari apa jua titik pertemuan bagi menegakkan keadilan & kebenaran. Termasuk DAP & PKR. Kunci bagi PAS untuk bekerjasama dengan DAP, adalah keadilan.

    Kerajaan sedia ada bersikap zalim, maka keadilan mesti ditegakkan. Maka atas titik pertemuan inilah PAS menghulurkan tangan kepada DAP, TANPA mengorbankan prinsip yang menjadi asas & nadi kepada PAS, iaitu ISLAM itu sendiri.

    Peluang-peluang lain yang muncul juga turut muncul, seperti mana yang ditulis di bahagian atas, yang mana PAS dapat menembusi kawasan-kawasan yang sebelum ini sukar untuk bendera Hijau Putih ini masuk.

    e. Adapun isu kerajaan perpaduan ini, telah tamat dibincangkan, juga telah diputuskan supaya tidak lagi menjadi sebutan. Kiranya ada cakap-cakap belakang itu, maka ianya bukanlah pendirian PAS.

    f. PAS tidak masuk bertanding untuk kalah. PAS yakin akan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Maka seluruh tenaga kerja & jentera PAS harus dikerahkan untuk memastikan kemenangan tersebut. Back up plan memang sudah ada. Tapi masuk gelanggan untuk kalah, tidak sama sekali. Tidak ada istilah ‘Jika kalah’ dalam kamus mereka yang turun mencabar.

    Mengandaikan bahawa jika PAS kalah maka kitaran ‘tersebut’ akan terus berulang, maka itu merupakan satu tanggapan yang silap. PAS sebagai satu jemaah yang telah berjuang selama 60 tahun mana mungkin tidak mempunyai apa-apa back up plan.

    g. PAS juga menerima keahlian & keanggotaan dari segenap pelusuk lapisan masyarakat. Ada yang mengenali PAS melalui pintu tarbiyah, juga pintu siyasah, juga pintu kerana tidak puas hati dengan pihak – pihak tertentu.

    Meskipun hal ini merupakan bebanan bagi PAS, namun PAS sedaya upaya untuk menerima ahli-ahli yang memasuki pintu selain daripada tarbiyah ini.

    PAS yang merupakan parti &jemaah yang inklusif, menggunakan peluang yang ada, untuk memberikan kefahaman Islam kepada masyarakat. Semangat & kemahuan yang ada dalam diri mereka yang menyertai PAS, dimanipulasi untuk sama-sama membangunkan Islam.

    Meskipun kepelbagaian & perbezaan yang wujud dalam PAS kadangkala memberikan ‘sakit kepala’ kepada PAS, namun PAS sedaya upaya menerapkan tarbiyah kepada mereka. Ahli yang mendaftar tidak dapat tidak mesti mengikuti program & aktiviti PAS, bermula dengan sekecil-kecil usrah.

    Adapun suara-suara sumbang yang berbunyi cakap-cakap belakang itu, kemungkinan dimainkan oleh mereka yang memasuki PAS bukan melalui pintu tarbiyah, juga tidak mahu memberikan komitmen kepada PAS, melainkan dalam aspek politik dengan hanya lantang di warung-warung kopi.

    h. Sekali lagi ditekankan, PAS bukan sekadar parti politik, tetapi juga sebagai salah satu JAMAATU MIN AL-MUSLIMIN. PAS memahami bahawa perlunya ada dakwah yang menyeluruh & dalam proses sedang melaksanakannya. Cuma imej yang ada ketika ini, lebih dibesarkan kepada peranan PAS sebagai parti politik. Gambaran yang diberikan oleh masyarakat & juga media-media arus perdana, kebanyakan melenyapkan pergerakan PAS dalam arena & aspek yang lain.

    Apa pun, amatlah diharapkan supaya siapa-siapa yang ingin memberi komen atau mengkritik PAS, dapat membuat sedikit kajian berkenaan sejarah & kisah perjuangan PAS, semenjak penjajahan British di Tanah Melayu lagi.

    Juga memahami bagaimana arena politik tanah air. Kadangkala, duduk di luar lingkaran memerhati tidak akan sama seperti mengalaminya. Teori yang tidak dapat diselarikan dengan keadaan atau waqi’ setempat, hanya akan kekal sebagai teori semata.

    Maaf andai tidak dapat menunjukkan bukti atau fakta yang tepat. Cuma inilah yang mampu diberikan sebagai jawapan untuk kita sama-sama fikir, sebelum mempersoalkan hal yang lebih jauh lagi. Memahami antara satu sama lain sangat penting, dalam kita bergerak menuju hadaf & ghayah yang satu ini.

    Kita masing-masing punyai penjuru & sisi yang perlu dijaga, maka jagalah ia sebaik mungkin. Aspek politik, insyaAllah buat masa ini PAS sudah mengisinya. Jika ada yang lebih mampu & lebih layak dari PAS, maka PAS tidak mempunyai masalah untuk memberikan penjuru tersebut kepada mereka.

    Juga kami selaku golongan peringkat bawahan, percaya lagi yakin dengan pemimpin-pemimpin kami. Rukun yang ke-10 itu kami pegang dalam dada & tangan kami. Bagaimana anggota jemaah lain itu mempercayai pimpinan mereka, begitulah juga kami. Semuanya sama dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin dalam jemaah yang lain.

    Apa yang telah diputuskan itu, tidak lain berlandaskan wahyu Al-Quran & Hadith Nabi SAW

    Setiap kritikan yang dihadapkan akan diambil kira untuk diperbaiki dari masa ke masa, cumanya sekali lagi amat diharapkan kepada siapa-siapa sahaja, yang ingin memberikan komen, memahami bagaimana keputusan itu dicapai. Tidak kira berkenaan tahalluf siyasi, muwajahah silmiyyah, atau pendekatan tarbiyah harakiyyah & dakwah harakiyyah yang PAS bawakan ini.

    Seek 1st to understand, then to be understood, think win-win, & insyaAllah we will get to the same point, to reach, not PAS way, not other jamaah way, but HI-WAY. Penyelesaian terbaik untuk kita sama-sama menyelamatkan ummah.

    Wallahua3lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: