Skip to content

Sekitar Isu Kalimah ‘Allah’

January 13, 2010

Alhamdulillah, akhirnya tergerak juga untuk menulis malam ini. Sudah tertangguh lebih kurang seminggu dari niat mula untuk menulis tentang isu terbaru yang melanda negara kita. Isu penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh akhbar Herald, yang menimbulkan suasana tidak senang duduk umat Islam di Malaysia. Sehingga kini, kita semua masih menunggu keputusan Mahkamah Tinggi untuk membicarakan rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN)  terhadap keputusan terdahulu institusi tersebut berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh bukan Muslim. Buat masa ini, keputusan terdahulu itu dibenarkan untuk ditangguh dahulu setelah Mahkamah Tinggi menerima permohonan penangguhan keputusan dari pihak KDN.

Sepanjang minggu ini, kita dapat lihat pelbagai badan-badan Islam termasuk parti-parti politik Melayu menyuarakan kebimbangan dan kekhuatiran mereka akan kecelaruan yang bakal timbul pada generasi yang mendatang andai isu ini tidak dibela. Suasana ini agak menarik kerana badan-badan tersebut yang sebelumnya berselisih antara satu sama lain dapat bersatu suara dalam isu melindungi kepentingan ummat Islam. Meskipun di sana ada cakap-cakap politik bahawa sebahagian pihak dari kalangan umat Islam sendiri berjaya meraih keuntungan politik dari isu ini, kebanyakan badan-badan Islam yang lain melihat isu ini perlu terus dipertahankan walau apa jua yang terjadi.

Dari aspek hukum syar’i, isu ini terus diperbahaskan para ulama’ dengan rancak sekali. Sebahagian mereka tidak menghalang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh mereka yang bukan Islam, namun sebahagian yang lain berselisih bahawa kalimah ‘Allah’ adalah khusus bagi umat Islam dan mereka wajib mempertahankannya. Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mei 2008 (Muzakarah ke-82) juga menunjukkan bahawa sebahagian masyayikh umat Islam di Malaysia tetap bertegas dengan isu ini, sedangkan di negara-negara lain (terutamanya negara-negara Arab timur tengah) isu ini bukanlah perkara yang menjadi kebimbangan sehingga ke peringkat kenegaraan.

Di Jordan, saya turut berdepan dengan perkara yang sama di mana orang Kristian dan orang Islam masing-masing menggunakan kalimah ‘Allah’ meskipun maksud yang dikehendaki mereka adalah berbeza. Dan hal ini telah berlangsung sejak sekian lama sehinggalah generasi yang hidup pada zaman ini. Di Malaysia, masyarakat Kristian di Sarawak terutamanya juga mendakwa perkara yang sama, bahawa mereka telah menggunakan kalimah ‘Allah’ ini sejak ratusan tahun setelah mereka dikristiankan oleh para mubaligh Kristian pada waktu itu. Soal mereka, kenapa pula mereka dihalang sekarang ini?

Saya secara peribadi merasakan bahawa kita perlu melihat isu ini bukan dari aspek hukum semata, tetapi aspek uruf dan adat masyarakat setempat sepertimana yang diperjuangkan oleh badan-badan Islam yang lain. Jika mahu berhujah secara syar’i, kita hanya akan dapati wujudnya khilaf dari aspek pemahaman ayat Al-Quran dan Sunnah. Sebahagian membenarkan, manakala yang lain melarang ianya daripada berlaku. Meskipun saya melihat hujah mereka yang membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi orang bukan Islam lebih kuat, tetapi suasana masyarakat setempat di Malaysia tidak boleh kita samakan dengan apa yang berlaku di negara-negara lain. Ianya hanya akan mendedahkan generasi umat Islam yang tidak kuat beragama kepada kekeliruan dan kecalaruan dalam memahami agama itu sendiri.

Adapun begitu, saya merasakan bahawa kita masih perlu mempertahankan isu ini tetapi dengan perasaan malu terhadap kelemahan diri kita sendiri yang membiarkan generasi umat Islam terus dibuai arus dunia dan lalai dari berpegang dengan agama. Mengapa mahu salahkan orang lain bilamana mereka kuat bekerja untuk agama mereka, sedangkan kita terus leka dengan agenda-agenda hawa nafsu kita lantas membiarkan generasi umat Islam terabai dari mendapat nikmat kefahaman Islam? Di mana kerja dakwah kita berbanding para mubaligh Kristian tersebut? Kita masih berbalah sesama sendiri, masih terpecah-pecah dengan fahaman politik kepartian, masih berdebat akan siapakah yang paling asli dakwahnya…lalu generasi di sekililing kita terus leka dengan kerja duniawi mereka kerana tidak ada siapa pun yang mampu menyelamatkan mereka dari terus berada dalam lembah kegelapan.

Akhirnya kita perlu insaf akan kelemahan yang kita miliki sejak sekian lama lantas terus berusaha menyuburkan dakwah dan mendidik masyarakat umum. Inilah kerja utama kita yang tidak boleh kita gadaikan keutamaannya. Moga Allah melindungi kepentingan agama kita dan terus menetapkan jiwa-jiwa kita di atas jalan yang lurus.

Wallahu A’lam.

~Abu Thana’, Irbid~

One Comment leave one →
  1. January 13, 2010 10:02 am

    Persoalan yg baik..dakwah siapakh yg lebih asli?? Dakwah para nabi..wallahu A’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: