Skip to content

Buangkan jauh-jauh..

March 1, 2010

Bismillahirrahmanirrahim

Minggu lepas adik-adik sayang dan saya berbincang isu semasa tentang kes buang bayi. Biarpun kes buang bayi bukanlah satu isu yang baru wujud di muka bumi ini, namun sejak akhir-akhir ini, keberleluasaannya amat membimbangkan. Kerana ianya juga menunjukkan betapa teruknya tahap sosial sesebuah negara itu dan menunjukkan betapa lemahnya sistem pendidikan sesebuah negara yang terlibat. Paling terkesan adalah pendidikan moral atau agama yang amat ketinggalan. Kebanyakan mereka yang membuang bayi ini bukan kerana tidak tahu kesan hubungan bebas, tetapi kerana ingin menutup malu di hadapan masyarakat. Masyarakat yang tidak supportive terhadap mereka yang mengandungkan anak luar nikah. Serta memandang serong kepada mereka. Akibatnya, bayi suci yang tidak berdosa menjadi mangsa. Tapi mereka telah dijanjikan syurga oleh Allah. Kesian memang kesian, cuma yang hidup dan melahirkan itu lebih malang dari si bayi yang dibuang begitu sahaja. Kerana syurga belum tentu jadi milik mereka sekiranya tidak bertaubat.

Samalah kesnya dengan mereka yang menggugurkan anak luar nikah selepas terlanjur. Ini kategori bijak sedikit dari yang buang bayi  sebab boleh terfikir nak gugurkan selepas terlanjur. Kurang sikit malu depan masyarakat. sakit dan duit melayang tu belakang kira. Kategori paling bijak adalah mereka yang menggunakan apa-apa sahaja cara untuk mengelak dari mengandung dalam hubungan bebas. Kategori ini mungkin dari golongan mereka yang kaya-kaya dan juga mereka yang hebat di mata dunia, berpelajaran tinggi dan ada nama dalam masyarakat. Selalu yang buang bayi ini budak sekolah rendah ke, sekolah menengah ke, mungkin juga ada pekerja kilang dan cikgu sekolah agama. Tapi tak pernah pulak dengar doktor atau dentist yang buang bayi kan. Mungkin ada, tapi jumlahnya sedikit. Lagi malang kalau mereka yang beragama sedikit atau berilmu agama lebih sedikit, boleh pulak dia fikir bila dah terlanjur tu, untuk terus melahirkan bayi tersebut dan buang atau matikan bayi tersebut. Kurang-kurang nanti si ibu dah ada tiket nak masuk syurga selepas melakukan dosa besar dengan berzina. Itu yang kadang-kadang kita dengar muslimah tudung labuh pun boleh mengandung anak luar nikah. Matlamat menghalalkan cara bagi mereka. Naudzubillahiminzaalik.

Rasanya dulu sebelum saya menjejakkan kaki ke India, isu buang bayi di Malaysia masih hangat. Itu hampir empat tahun yang lepas. Masa itu saya hanya tahu mereka yang buang bayi ini memang datang dari keluarga yang porak peranda. Sure bapak dia muka gatal-gatal sikit atau garang sangat, mak dia pulak jenis asik jual kerepek je kat opis. Mak bergaya bukan main, sibuk jualan langsung itu ini dengan kawan-kawan. Anak-anak buat apa kat rumah tak tahu. Itu bayangan minda terhad saya sebelum mendapat pendedahan lebih luas. Baru lepas spm lah katakan. Jiwa masih kanak-kanak lagi. Belum lepas nak masuk perang, apatah lagi nak jadi macam para sahabiah yang mampu tolong jadi tulang belakang dalam perang. Huhu.

Kenapa tiba-tiba rasa nak tulis pasal isu ini? Kerana suratkhabar kelmarin dan hari ini meng’highlight‘kan kes seorang kanak-kanak perempuan malang(syurga menanti InsyaAllah kerana beliau baru berumur 3 tahun) yang meninggal dunia lantaran didera teman lelaki ibunya yang disifatkan ibunya sebagai binatang. Siapa suruh pergi couple dengan binatang tersebut. Lelaki yang berkelakuan baik semacam dengan perempuan ajnabi semua tak boleh percaya. Lagi-lagi kalau lelaki yang mudah sangat mengeluarkan ayat-ayat manis kepada perempuan yang belum lagi menjadi miliknya. Kerana apa? kerana dia bukan lelaki berIman. Lelaki itu bukan lelaki acuan Al-Quran yang mengharapkan redha Allah dalam setiap pergerakannya. Tak adil lah sekiranya perempuan sahaja yang perlu menjaga setiap gerak geri sedangkan lelaki tidak perlu. Sedangkan dalam Al-Quran sendiri Allah suruh lelaki juga tunduk pandangan[An-Nur 24:31] selepas Allah suruh perempuan jaga pandangan.

Nak salahkan siapa? Salah ibu yang mengandung, melahirkan dan membesarkan? Salah bapa? Salah sistem pendidikan? Salah orang kiri kanan? Salah masyarakat? atau salah diri sendiri? Di akhirat nanti bukan orang kiri kanan yang akan Allah soalkan, bukan masyarakat yang Allah beri kelebihan untuk menilai diri kita, bukan juga ibubapa yang membesarkan dan mendidik diri, tapi diri sendiri. Setiap antara kita sudah tidak mampu untuk menuntut pembelaan dari orang lain dan hanya mampu memikirkan tentang diri sendiri sahaja untuk selamat di hadapan Allah swt.

Memikirkan tentang ini mebuatkan saya risau untuk pulang ke Malaysia. Risau memikirkan betapa rosaknya masyarakat di Malaysia sekarang berbanding dahulu. Betapa terkedepannya Malaysia dalam mengikut anasir-anasir barat. Betapa kuatnya penjajahan pemikiran kepada generasi-generasi muda di Malaysia yang sepatutnya sudah mampu menjadi panglima seperti Salahuddin Al-Ayyubi, ataupun sehebat Usamah bin Zaid. Namun realitinya mereka masih mempunyai pemikiran untuk mendapatkan kebahagiaan sementara di dunia lebih dari memikirkan tentang akhirat. Kalau ada pun yang memikirkan akhirat mereka, masih ada kepincangan dalam jalan mereka menuju akhirat dengan tidak menjaga batas-batas pergaulan sesama lain jantina. Satu kehebatan orang India di sini bila mereka masih mampu menjaga tradisi dan adat ketimuran meskipun sudah merdeka lebih awal 10 tahun dari Malaysia. Walaupun mereka ketinggalan banyak dari sudut kemajuan negara, tapi dari segi moral masyarakat mereka jauh lebih terjaga dari Malaysia. Orang Malaysia datang India pula bawa anasir tak elok di negara orang tanpa segan silunya. Memalukan agama dan negara sahaja.

Bagaimana peranan kita untuk membantu meredakan keadaan ini? Bagi saya, kita harus bermula dari bawah. Bermula dari asas. Biarpun sepohon pokok yang ditanam kadang-kadang kita boleh cantas dahan-dahan yang dah rosak ataupun buang bunga yang dah layu untuk menampakkan pohon itu kembali segar di mata kita, namun untuk mendapatkan dahan baru yang cantik dan bunga baru yang segar, kita masih tetap perlu membaja akar pokok tersebut. Nak katanya di sini, biarpun kita mampu untuk membetulkan mereka yang sudah terlanjur dengan mengajak mereka bertaubat etc, tapi kita juga mampu merubah keadaan dengan mengajak mereka yang belum terlanjur untuk terus menjaga diri sehingga sampai masanya. Berusaha tanamkan dalam diri untuk melahirkan generasi baru yang bakal menjadi pejuang-pejuang agama Allah swt. Yang mana belum ada pasangan, tanamkan dalam diri untuk cari pasangan yang mampu membimbing diri kita ke syurga, bukan sama-sama beriringan ke neraka. InsyaAllah dunia akan kembali aman dan sentosa. Jangan pula kita menjadi bijak di hadapan manusia tapi bodoh dihapadan Allah bila kita masih bergaul bebas dalam keadaan menjaga supaya tidak mengandung!

Prevention is always better than cure..

Wallahualam

-Ummu Thana’-Mangalore, India

No comments yet

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: