Skip to content

Da’ie & Demokrasi

June 29, 2011

Dunia Islam setakat hari ini mempamerkan petanda yang menjadi tanda tanya terhadap aras demokrasi yang tulen serta sejauh mana demokrasi memberi imbuhan buat gerakan-gerakan Islam khasnya dan umat Islam umumnya. Demokrasi yang dilaung-laungkan dengan nuansa yang menggiurkan setiap pemainnya, rupa-rupanya memakan diri sendiri apabila tidak lagi selari dengan kehendak pencatur utamanya.

Islam punyai jalurnya yang tersendiri dalam memberi bimbingan terhadap tata-urus yang baik, menegakkan prinsip-prinsip keadilan sejagat yang bukan sekadar memenuhi tuntutan hak asasi manusiawi, dan juga pengelolaan sebuah kerajaan rakyat. Semua itu telah pun dilakarkan dalam rentetan sejarah perjuangan dan kenegaraan umat Islam itu sendiri.

Adapun begitu, dengan hentaman yang begitu hebat terhadap umat Islam di akhir usia Khilafah Uthmaniyyah, kita telah pun terpecah-pecah oleh sekat-sekat geografi dan politik tanahair masing-masing. Lalu, penjajah telah memandulkan potensi kita untuk bangkit dengan sistem yang pernah kita miliki sebelumnya. Yang ditinggalkan buat kita hanya sebuah ‘permainan’ yang kita gelar pada hari ini sebagai sebuah demokrasi.

Walaubagaimanapun, kita masih memandang demokrasi sebagai satu-satunya ‘alat’ yang akan menyampaikan kita kepada cita-cita kenegaraan kita, dek kerana proses ‘pemandulan’ yang begitu hebat di sepanjang sejarah umat Islam. Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna sendiri mengungkapkan bahawa proses demokrasi ini adalah proses yang paling hampir dengan sistem Islam dalam dunia moden hari ini

“Wahai Ikhwan, bagi orang yang mengkaji perkara ini, prinsip pemerintahan berperlembagaan yang mengandungi prinsip-prinsip memelihara segala bentuk kebebasan individu, prinsip syura dan kuasa rakyat iaitu prinsip pemerintah bertanggungjawab kepada rakyat dan rakyat boleh mengadili setiap tindakan mereka, menggariskan kuasa setiap pemerintah, kesemua prinsip ini bagi sesiapa sahaja yang mengkaji jelas menunjukkan ia bertepatan dengan ajaran serta sistem dan dasar Islam dalam aspek pemerintahan.

Dengan ini Ikhwan Muslimin meyakini sistem pemerintahan berperlembagaan adalah suatu sistem pemerintahan sedia ada yang paling hampir dengan Islam. Oleh itu Ikhwan tidak akan mengubah sistem ini kepada sistem yang lain.”                                    

                                                                                                          Ucapan Dasar Muktamar Ke-5

Akan tetapi demokrasi yang begitu terbuka ini tidak datang dengan angan-angan yang indah belaka, bahkan ia juga datang dengan ‘mimpi ngeri’ kerana tabiatnya yang terbuka itu. Tiada apa yang dapat memandu demokrasi ke arah penghayatan syariat melainkan kehendak rakyat itu sendiri, kerana ia berasal dari rakyat dan untuk rakyat. Perkara ini akhirnya menjadi basis congakan oleh gerakan-gerakan Islam dalam mencatur strategi mereka, dan memposisikan diri mereka apabila berhadapan dengan arus yang tidak diduga. Apatah lagi jika gerakan Islam berada pada situasi yang tidak dominan dalam menghadapi arus dan tentangan tersebut.

Justeru itu, gerakan-gerakan Islam perlu melihat semula proses demokrasi ini dari sisi ‘grand design’nya yang telah pun dibuktikan oleh silih-ganti kerajaan-kerajaan dunia Islam. Jika tidak ada dukungan yang kuat dari rakyat dalam aspek penghayatan syariat tesebut, kemenangan dalam pilihanraya hanya menjadi mandat yang akhirnya akan menjadi pukulan maut buat gerakan Islam itu sendiri. Tekanan dari hegemoni Barat yang sudah pasti akan diterima, dan juga tekanan internal dari rakyat itu sendiri yang enggan menghayati ‘pemaksaan’ syariat itu menerusi gubalan undang-undang. Akhirnya, hanya gerakan Islam yang sedar sahaja akan berusaha sedaya-upaya menyediakan kehendak rakyat terlebih dahulu ke arah memahami syariat Islam, di samping mengintai-intai peluang ‘menegarakan’ dakwah itu sendiri. Dan perlu sentiasa diingat, bahawa peluang itu tidak datang melainkan dengan ancaman. Ini perlu bagi memastikan momentum yang telah diciptakan oleh gerakan Islam tidak dapat dihentikan oleh ancaman-ancaman tersebut.

Dari sudut yang lain, gerakan Islam yang giat memfokuskan jentera mereka pada dunia politik semata tetap berupaya untuk menang dalam apa pun pilihanraya yang mereka tandingi jika mereka bijak bermain isu, tetapi ini tidak dapat menafikan keperluan mereka membangun sebuah masyarakat pendokong terhadap cita-cita mereka. Membangun basis sosial ini memerlukan kader-kader penyegar jiwa umat, bukan sekadar barisan politikus tegar. Ini benar apabila kita lihat jahiliyyah itu sendiri mendapat tempat yang begitu strategik dalam sebuah proses demokrasi, sama seperti peluang dan ancaman yang kita hadapi. Gerakan Islam yang gagal memahami hakikat ini dikhuatiri akhirnya akan menjadi tunggangan buat jahiliyyah atas nama demokrasi.

Seterusnya, perkara ini perlu menjadi antara titik fokus gerakan Islam yang syumul, iaitu bergerak bersama saf murabbi dan tokoh-tokohnya  terus ke dalam jiwa umat yang sedang layu melalui lunas-lunas institusi kerana dalam ‘permainan’ demokrasi ini, kebenaran yang meskipun ia benar, ia tetap perlu diabsahkan oleh ‘rakyat’. Begitu juga dengan jahiliyyah yang meskipun ia batil, ia tetap benar jika telah diabsahkan oleh ‘rakyat’. Maka pertembungan kebenaran dan kebatilan inilah yang menjadi urgensi gerakan Islam untuk terus menginstitusikan dakwah mereka dalam apa jua wadah, dan seterusnya ‘menegarakan’ ia.

Akhirnya, kita memohon agar Allah s.w.t melorongkan kita bersama-sama perancangan-Nya dalam dunia demokrasi yang penuh kelicikan ini, dan semoga gerakan-gerakan Islam hari ini terus diberi petunjuk dan bimbingan oleh Allah s.w.t.

 

~Abu Thana’ – Goa, India~

 

 

 

4 Comments leave one →
  1. October 29, 2011 4:34 pm

    berjuang itu seperti berburu -ada matlamat dan ada strategi

  2. October 29, 2011 4:37 pm

    berjuang itu seperti berburu – ada matlamat dan ada strategi

  3. Cataleya Bt Naim Cataleya permalink
    October 29, 2011 4:45 pm

    iaslam adalah agama dakwah dan tarbiah. dalam bahasa muda , islam aialah agama yang mengajar manusia kepada kebenaran .dakwah dan tarbiah dimalaysia tidak harus berlegar sekitar syariah dn khutbah semata..

  4. anonymous permalink
    November 16, 2011 5:20 pm

    Assalamualaikum

    sekadar makluman, gambar yg digunakan dlm artikel ni adalah arwah sahabat ana, al-akh khairul hakimi ismail yg telah kembali ke rahmatullah 9 mac 2011. (yg berbaju belang tengah berdoa).

    wallahu’alam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: